ISMAIL AZREN ALBAKRI, atau dikenali sebagai AZREN ALBAKRI, 24 tahun, anak kelahiran Klang, Selangor Darul Ehsan, merupakan penuntut tahun akhir Ijazah dalam bidang Pengurusan Perniagaan di Universiti Selangor.
Mula mengukir nama di persada seni muzik tanah air, AZREN ALBAKRI yang berasal dari keluarga seni telah mula mengasah bakat seawal sekolah rendah tetapi bakatnya mula menyerlah apabila berjaya merangkul gelaran JUARA Pertandingan Nasyid Peringkat Kebangsaan (Anti Dadah) di Kelantan pada tahun 2008. Bakatnya tidak terhenti di situ, AZREN ALBAKRI terus berusaha mengorak langkah mencipta nama dengan menyertai pertandingan-pertandingan karaoke sepanjang 2010, pertandingan nyanyian anjuran belia di Putrajaya dengan mendapat tempat kelima dari 50 penyertaan, beberapa kali menghadiri ujibakat AKADEMI FANTASIA serta ASIA’S GOT TALENT tetapi tidak terpilih.
Keupayaan AZREN ALBAKRI dalam menyampaikan lagu pelbagai genre, menimbulkan minat ramai pihak untuk menjemputnya membuat persembahan dalam majlis rasmi ataupun tidak. Pada tahun 2015, AZREN ALBAKRI terus merintis nama dengan menyertai Pertandingan UNISEL Got Talent (UGT) musim pertama tetapi nasib tidak menyebelahinya, AZREN ALBAKRI mendapat tempat ketiga. Rentetan dari kegagalan yang lalu, berpegang teguh kepada prinsip USAHA TANGGA KEJAYAAN, pada tahun 2016, sekali lagi AZREN ALBAKRI menyertai pertandingan UGT musim kedua dan kali ini dinobatkan sebagai JUARA. AZREN ALBAKRI juga merupakan JUARA dalam Pertandingan Voice of Siswa di UiTM Lendu.
‘Yang pipih takkan datang melayang, yang bulat takkan datang menggolek’, AZREN ALBAKRI tidak pernah merasa jemu atau putus asa, sentiasa memuat naik video nyanyian di laman sosial INSTAGRAM dan FACEBOOKnya sehingga telah berjaya menambat hati pihak ASTRO untuk memilih AZREN ALBAKRI dalam program realiti SEIRAS SEIRAMA ikon Hafiz Suip. Menerusi program ini, AZREN ALBAKRI berjaya sehingga ke semi final. Walaupun tidak berjaya, ini merupakan platform untuk AZREN ALBAKRI terus mencipta nama.
‘Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu’. Setelah tamat program realiti SEIRAS SEIRAMA terbitan ASTRO, AZREN ALBAKRI telah DILAMAR oleh MIXOLOGY MUSIC untuk mengikat kontrak selama dua tahun dengan lagu single pertamanya berjudul ‘JANGAN KEJUTKAN AKU’, Composer DJ Fuzz dan Lyricist Adik Viral dan Amsyar Viral.
Instagram: @azren_albakri